Ahad, 21 April 2013

DAP TETAP TOLAK HUDUD - KARPAL SINK


DAP tetap menolak dasar Pas termasuk hukum hudud meskipun parti itu terpaksa bertanding menggunakan lambang Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Pengerusinya, Karpal Singh menegaskan, kesediaan parti itu menggunakan logo Pas tidak bermakna DAP menerima setiap dasar Pas.

Sebaliknya, jelas beliau, tindakan tersebut hanya melambangkan kerjasama utuh kedua-dua parti dalam pakatan pembangkang.



"Ini cuma kerjasama di bawah satu pakatan dan Pas telah bersetuju untuk membenarkan calon DAP menggunakan lambang mereka. Mana-mana keluarga pun ada persamaan seperti ini.

"Namun, itu semua adalah tidak penting kerana matlamat kita sekarang memastikan pakatan pembangkang menang besar dalam pilihan raya ini," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi Parlimen Bukit Gelugor, hari ini.

Selain itu, Karpal menambah, pihaknya lega memandangkan DAP dibolehkan untuk menggunakan simbol roket dalam pilihan raya umum ini.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima surat watikah yang dikeluarkan parti. Jadi DAP akan menggunakan simbol roket yang telah menjadi identiti parti sejak lebih 40 tahun lalu," ujarnya.