Ahad, 28 April 2013

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ akan rugikan kaum pribumi serta bumiputera


KANOWIT, 28 April — Menteri Kemajuan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata pelaksanaan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan DAP akan merugikan rakyat terutamanya kaum pribumi.

Ini kerana katanya, di bawah konsep itu mereka mungkin kehilangan hak tanah adat (NCR).
“Di bawah konsep itu, tanah di negara ini kepunyaan semua rakyat Malaysia. Ini bermakna mereka yang ada duit boleh membeli mana-mana tanah,” katanya pada majlis perjumpaan bersama rakyat di Rumah Panjang Sebastian Ko di Nanga Ngungun di sini hari ini.
Katanya beliau bimbang apabila itu yang berlaku kaum Dayak akan menjadi orang asing di tanah sendiri.
“Parti Keadilan Rakyat kata mereka memperjuangkan tanah NCR tetapi apa yang mereka mahu perjuangkan sedangkan kategori itu tidak lagi wujud di bawah Malaysian Malaysia?” katanya.

Beliau juga bimbang konsep itu akan menafikan hak bumiputera memperoleh biasiswa dan pekerjaan dalam sektor awam. Pada masa yang sama beliau menggesa komuniti rumah panjang agar mengingati semua sumbangan dan bantuan yang disalur kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada mereka ketika membuang undi pada 5 Mei ini.
Sikap semula jadi orang Iban adalah sentiasa mengenang budi kerana kami takut dimakan sumpah jika tidak berbuat baik kepada mereka yang berjasa dan dalam hal ini kita balas budi BN dengan memberi undi, katanya.
Mengenai Datuk Aaron Ago Dagang yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Kanowit, Masing berkata rakyat patut menyokongnya kerana beliau adalah calon pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikenali sebagai pemimpin yang prihatin terhadap rakyat terutama masyarakat di luar bandar. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang komen yang tersiar adalah menjadi tanggungjawab penghantar. Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadapnya. Sekiranya ada sebarang komen dihantar dan tersiar yang bertentangan dengan undang-undang negara , pemilik blog ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tujuan siasatan dan tindakan.

HARAP MAKLUM