Sabtu, 11 Mei 2013

TIMBALAN PENGERUSI SPR LEPAS GERAM......



Sepanjang membuat liputan yang berkait dengan Suruhanjaya Pilihanraya
(SPR), kalangan wartawan tak pernah tengok, baik pengerusinya, Tan Sri
Abdul Aziz Yusof mahupun timbalannya, Dato Wira Wan Ahmad Wan Omar
menunjukkan rasa marah.

Biasanya mereka akan bercakap dengan nada relaks dan adakalanya menyelitkan
gurau senda supaya sidang media tak menjemukan. Tetapi pada sidang media
SPR pada Sabtu, wartawan melihat sisi Wan Ahmad yang serius dan macam orang
menahan bengang.



Rupa-rupanya orang nombor dua SPR itu sudah hilang sabar dengan tohmahan
dan fitnah melampau yang bertalu-talu dilemparkan oleh pembangkang dan
penyokong-penyokongnya terhadap SPR.

“Pada 5 Mei lalu, melalui Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), 85.8% rakyat
Malaysia telah buat keputusan dan sesiapa tak berpuashati boleh menggunakan
saluran undang-undang dengan memfailkan petisyen ke mahkamah di bawah
Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan

“Bila nak failkan petisyen, kumpulkan segala bukti, dapatkan peguam terbaik
dan berhujahlah. Janganlah meraung sana sini, menghasut rakyat dan
memfitnah badan yang menguruskan pilihanraya.

“SPR sungguh kecewa dan mengecam pemimpin yang sampai sekarang membuat
rakyat keliru, mengheret anak-anak muda ke stadium dan jalanraya dan
melanggar undang-undang untuk menghujahkan segala pembohongan,” katanya.

Kata-kata yang diluahkan oleh Wan Ahmad membuat wartawan terpaku. Perasaan
kecewa dan marah memang jelas terpancar pada wajah orang nombor dua SPR itu..

Malah dia terus “sound” pembangkang terang-terangan, terutama Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

“Ada yang kecewa tak dapat jadi Perdana Menteri. Ada yang kecewa tak boleh
jadi Timbalan Perdana Menteri. Ada juga yang kecewa tak boleh jadi Menteri
Dalam Negeri. Pilihanraya telah selesai dan rakyat telah buat keputusan.
Yang kalah tetap kalah dan yang menang tetap menang.

“Mereka tuduh pilihanraya tak adil dan penuh dengan penyelewengan.
Penasihat DAP menang di Gelang Patah, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang di
Permatang Pauh, adakah itu hasil daripada pilihanraya yang tidak adil?”

Wan Ahmad terus membidas pemimpin pembangkang sebagai golongan yang tidak
bertanggungjawab dan perosak pemikiran generasi muda.

“Saya sedih tengok anak-anak muda yang tak faham undang-undang, memakai
baju hitam, meletak bendera Malaysia terbalik kerana terpengaruh dengan
fitnah pembangkang,” katanya.

Wan Ahmad berkata, pada Jumaat, beberapa pelajar universiti dan Badan Bukan
Kerajaan (NGO) telah menyerahkan memorandum yang isi kandungannya sama
dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan pembangkang.

“Katanya, SPR perlu bertindak secara adil dan amanah. Wah! Nak adil dan
amanah macam mana lagi? Mereka dakwa pelbagai manipulasi serta penipuan
telah berlaku. Manipulasi apa? Penipuan apa? Yang 89 kerusi parti
pembangkang menang itu manipulasi dan penipuan ke?

“Mereka kata undi pos meragukan? Mereka tak faham ke undi pos kita sudah
tukar jadi undi awal? Memang ada sedikit undi pos, tapi hanya bagi tentera
yang bertugas di Lahad Datu, polis yang bertugas pada hari mengundi awal
dan tak dapat mengundi awal, serta petugas SPR yang bertugas pada hari
mengundi. Cara mereka menulis menunjukkan mereka tak buat penyelidikan dan
tak faham.

“Mereka kata ada pengundi hantu? Kalau ada, sila bawa mereka ke mahkamah.
Tunjuk nama dalam daftar pemilih, siapa dia pengundi hantu. Mengenai warga
asing mengundi, ia adalah mustahil kerana aplikasi sistem kita akan menolak
jika bukan warganegara cuba mendaftar.

“Mereka kata 40,000 warga Bangladesh dibawa untuk mengundi. Nama mereka tak
ada dalam daftar pengundi. Nak bawa mereka dengan kapalterbang atau kapal
laut. Nak mendarat di mana? Tan Sri Khalid Ibrahim menang di Pelabuhan
Kelang sebab orang Bangla mengundi di situ ke? Teresa Kok menang lebih
50,000 majoriti dan bertahan di parlimen Seputeh sejak dulu sampai
sekarang. Tak adil ke pilihanraya?”

Ditanya sama ada SPR akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap
pemimpin pembangkang, Wan Ahmad berkata pihaknya sedang meneliti secara
serius dan akan merujuk kepada penasihat undang-undang.

“SPR bukan ahli politik. Apabila berbuat sesuatu perkara, kita kena lihat
implikasinya. Kita dilantik oleh Yang DiPertuan Agong. Anwar hanya dilantik
oleh rakyat di Permatang Pauh. Kawasan dia sahaja yang memilih dia. Dia
boleh cakap apa sahaja sebab dia tak bertanggungjawab.

“Go to court, don’t mislead the people. Keputusan pilihanraya akan
diwartawakan sebelum hujung bulan ini. Selepas diwartakan, dalam tempoh 21
hari selepas itu, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau sesiapa yang tak
puashati boleh fail petisyen.

“Anwar Ibrahim ini dah tua, jangan rosakkan pemikiran generasi muda. Kalau
sudah ditakdirkan Allah tak jadi Perdana Menteri, redha dan terima ajalah.
Rakyat dah buat keputusan. Kit Siang pula kata tak boleh terima dan nak
pilihanraya baru. Dia ini kubur kata mari, rumah kata pergi.”


By: Agenda daily.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang komen yang tersiar adalah menjadi tanggungjawab penghantar. Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadapnya. Sekiranya ada sebarang komen dihantar dan tersiar yang bertentangan dengan undang-undang negara , pemilik blog ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tujuan siasatan dan tindakan.

HARAP MAKLUM