>>>> HOME <<<<

Rabu, 24 April 2013

Hudud hanya gimik Pas


KENINGAU 24 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan tindakan Pas membangkitkan semula isu pelaksanaan hukum hudud sebagai gimik pilihan raya semata-mata.

Beliau berkata, dalam manifesto pembangkang jelas sekali soal hukum hudud tidak disentuh, malah DAP tidak pernah sama sekali menyatakan persetujuan mereka dalam perkara itu.

"Jadi kalau ini (pelaksanaan hukum hudud) dijadikan soal prinsip bererti Pas tidak seharusnya bergabung dalam Pakatan Rakyat kerana ini soal pokok yang diperjuangkan mereka.



"Sekarang ini DAP kena respons apa pendirian mereka dalam perkara ini dan saya jangkakan DAP terpaksa membuat kenyataan sebab kalau tidak yang bukan Islam akan meletakkan banyak persoalan tentang pendirian parti itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kompleks Sukan Keningau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan kepemimpinan BN negeri.

Tambah Najib, UMNO tidak pernah menolak hukum Islam itu tetapi beberapa persoalan termasuk kesesuaian masa dan sebagainya perlu diambil kira dalam melaksanakan perkara tersebut.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa tempoh masa lima tahun belum cukup untuk melaksanakan pelbagai perancangan adalah tidak benar sama sekali kerana tempoh berkenaan sudah cukup panjang.

Katanya, agenda transformasi nasional yang dilaksanakan kerajaan BN terbukti dapat dilihat keberhasilannya hanya dalam tempoh empat tahun sahaja.

"Kalau kita hendak merancang, tahun pertama kita boleh lakukan tahun kedua kita boleh laksanakan dan tahun ketiga dan keempat kita boleh tengok hasilnya.

"Saya tidak takut untuk membentangkan kad laporan kepada rakyat bagi rakyat mengadili prestasi kerajaan BN. Jadi sepatutnya bila tempoh lima tahun Tan Sri Khalid boleh membuat kad laporan kepada rakyat dan pengundi kerana itu lebih baik daripada dia minta lima tahun lagi," katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesal dengan kekecohan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ketika musim pilihan raya kali ini.

"Sepatutnya tidak berlaku. Biarlah bersaing dengan sihat, tunjuk amalan demokrasi yang boleh menjadi teladan kepada orang lain," kata Perdana Menteri.

Ditanya dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beberapa negeri termasuk Sabah dan Johor akan jatuh ke tangan mereka, Najib berkata, itu adalah 'permainan' pembangkang semasa musim pilihan raya umum.
Sumber > utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang komen yang tersiar adalah menjadi tanggungjawab penghantar. Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadapnya. Sekiranya ada sebarang komen dihantar dan tersiar yang bertentangan dengan undang-undang negara , pemilik blog ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tujuan siasatan dan tindakan.

HARAP MAKLUM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...