TAPAH, 29 Julai - Kebenaran terhadap penayangan filem ‘The New Village’ perlu ditarik balik sekiranya ia mengagung-agungkan peranan komunis dan mencetuskan provokasi, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata berdasarkan tontonan treler filem itu dilihat seolah-olah ia mengagung-agungkan pejuang komunis dan perkara itu tidak boleh diterima sama sekali.
“Ini satu usaha untuk menulis semula sejarah kita dengan mengagung-agungkan komunis yang kita tahu adalah pengganas yang banyak melakukan keganasan di negara kita.
“Walaupun betul komunis lawan British tetapi keganasan itu tidak boleh dimaafkan,” katanya ketika ditemui pada program Ihya Ramadan Parlimen Tapah di Masjid Al-Mukmin, Batu Tiga di sini malam tadi.
Khairy mahu kerajaan melihat semula keputusan membenarkan tayangan filem itu.
“Kalau ada orang kata kenapa saya buat keputusan dan kenyataan ini sedangkan saya belum tengok (keseluruhan) filem ini. Saya boleh rujuk kepada kes filem ‘Tanda Putera’, ramai yang tidak tengok tetapi terus menghukum sampai ‘Tanda Putera’ ditunda dan ditangguh selama satu tahun,” katanya.
Mengenai pemberian kebenaran penayangan filem ‘The New Village’ yang dilihat begitu mudah oleh pihak berkuasa berbanding ‘Tanda Putera’, Khairy berkata sepatutnya tidak wajar berlaku ‘pilih kasih’.
“Itu yang menimbulkan tanda tanya. Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet sebab kita melihat jelas berlaku ‘double-standard’, trelernya sahaja kita sudah nampak ia mengagung-agungkan pengganas komunis boleh dilepaskan begitu sahaja, sedangkan ‘Tanda Putera’ kena tunggu satu tahun. Bagi saya ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan pendedahan sebuah blog mengenai filem itu yang dilihat mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai ‘hero’ dan mempersoal bagaimana ia boleh ditayang pada bulan kemerdekaan sedangkan filem ‘Tanda Putera’, yang mengisahkan perjuangan pemimpin negara dalam mendepani insiden 13 Mei, terpaksa ditangguh tayangan beberapa kali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang komen yang tersiar adalah menjadi tanggungjawab penghantar. Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadapnya. Sekiranya ada sebarang komen dihantar dan tersiar yang bertentangan dengan undang-undang negara , pemilik blog ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tujuan siasatan dan tindakan.
HARAP MAKLUM