>>>> HOME <<<<
Khamis, 25 April 2013
4 sebab perlu pertahan BN
Sitiawan: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat sebab kenapa rakyat perlu mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia membabitkan faktor keselamatan, perpaduan, menunaikan tanggungjawab, amanah dan janji dalam pembangunan ekonomi serta pembangunan ilmu dan pendidikan untuk semua rakyat negara ini.
Katanya, kecuali peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah serta pertelingkahan kaum pada 13 Mei 1969, BN berjaya memastikan keamanan dan ketenteraman dalam negara sehingga politik juga boleh berada dalam keadaan stabil.
Bukan hasil lampu ajaib
Kemajuan dan pembangunan yang dinikmati sekarang tidak berlaku begitu saja kerana kepemimpinan BN tidak mempunyai lampu ajaib yang boleh mendapat sesuatu hanya dengan menggosok lampu, tetapi kejayaan ekonomi berpuluh tahun ini hasil usaha, amanah, tanggungjawab, wawasan dan pandangan jauh kepemimpinan yang disokong rakyat yang mahu negara terus maju dan makmur.
Aspek pembangunan ilmu dan pendidikan pula kita dapati masalah buta huruf sudah tidak timbul lagi. Hari ini hampir 100 peratus rakyat boleh membaca, menulis dan mengira, malah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 13 tahun dilancarkan baru-baru, mampu menggerakkan tahap pembangunan ilmu ke peringkat lebih tinggi, katanya pada Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia Parlimen Lumut di Padang Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman Kampung Pasir Panjang Laut, dekat sini, semalam.
Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Terdahulu, ketika berucap merasmikan bangunan baru Pejabat Kesihatan Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar, Muhyiddin berkata, mandat rakyat pada PRU-13 bukan soal BN, sebaliknya menjaga maslahah kebajikan rakyat serta mempertahankan dasar pemerintahan baik dan berkesan.
Taraf hidup lebih baik
Beliau berkata, tiada rakyat di negara ini seharusnya boleh menyatakan mereka tidak mendapat sesuatu manfaat dan kebaikan hasil dasar serta inisiatif kerajaan termasuk berjaya menurunkan paras kemiskinan hingga 1.5 peratus saja ketika ini dan mengembangkan kek ekonomi yang diagihkan secara saksama, selain menikmati taraf hidup dan pendapatan yang lebih baik serta menikmati kemudahan lebih selesa.
Jika dasar yang disusun BN begitu rapi, teratur dan dapat menghasilkan natijah ataupun out come yang baik untuk rakyat, maka kita sebagai rakyat perlu mempertahankan dasar itu, bukan kerana BN tetapi kerana pentingnya dasar itu untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Jadi nak pertahankan itu adalah waktu pilihan raya menerusi peti undi, kalau tak, kita tak boleh lakukan apa yang kita hendak lakukan untuk tempoh tahun mendatang ini, katanya sambil menyatakan dasar BN membolehkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan hingga ada berkeyakinan Malaysia mampu mencapai status negara maju lebih awal iaitu 2018 berbanding 2020 jika BN terus diberi mandat.
Muhyiddin berkata, kemudahan termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Perak Tengah berharga RM8.2 juta dirasmikannya serta khidmat kesihatan lebih murah daripada harga panadol melalui Klinik 1Malaysia juga antara contoh pencapaian dasar dan inisiatif BN menyediakan aspek rawatan serta penjagaan kesihatan terbaik kepada rakyat.
SUMBER > BERITA HARIAN ONLINE
di
11:33 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang komen yang tersiar adalah menjadi tanggungjawab penghantar. Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadapnya. Sekiranya ada sebarang komen dihantar dan tersiar yang bertentangan dengan undang-undang negara , pemilik blog ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tujuan siasatan dan tindakan.
HARAP MAKLUM