>>>> HOME <<<<

Ahad, 2 Jun 2013

Yang Mana Satu Prinsip Pas, Sokong Demokrasi Atau Demonstrasi?

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Pas sebenarnya tersepit di tengah-tengah apabila seakan terpaksa menyertai perhimpunan haram 505 sedangkan pucuk pimpinannya mengakui bahawa mereka menerima keputusan pilihan raya atas nama demokrasi.

Jelas Zainal, sebagai parti yang sering melaung untuk memperjuang dan menegakkan agama Islam, sudah pasti mereka tahu bahawa agama Islam menegah kekerasan dan berdemo di jalanan tetapi demi menjaga hati rakan sekutu iaitu PKR dan DAP, mereka terpaksa turut serta dalam perhimpunan 505.

“Saya rasa dalam hati sesetengah pemimpin Pas memang menolak kekerasan dan menyokong sistem demokrasi yang ada termasuklah perjalanan sepanjang proses mengundi tetapi mereka tersepit.



“Takut hilang kepercayaan daripada rakan sekutu dan juga takut penyokong lari. Oleh itu mereka terpaksa menyertai perhimpunan haram dan mengenepikan ajaran Islam,” katanya.

Ujar beliau lagi, Pas juga terpaksa menjaga hati penyokong tegar mereka yang selama ini telah disogokkan bahawa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, pucuk pimpinan negara akan berubah dan apabila ini tidak menjadi kenyataan maka perhimpunan 505 adalah jawapan untuk memujuk hati para penyokong tegar.

“Sebab itu kita dapat lihat ada sesetengah pemimpin yang mengeluarkan kenyataan tidak menyokong demonstrasi jalanan dan menyokong demokrasi tetapi ada sesetengahnya pula terlibat dalam perhimpunan haram membantah keputusan PRU-13. Ini jelas menggambarkan bahawa Pas bukanlah parti yang memperjuangkan Islam secara benar dan ia tidak layak untuk dihormati,” ujar Zainal kepada UMNO-Online.

Zainal menyeru kepada rakyat agar cuba memahami dan merenung kembali proses pengundian dijalankan dan cuba nyatakan di manakah ruang untuk menipu.

“Sekiranya PRU-13 tidak telus, bagaimana dua calon MCA di Pulau Pinang boleh hilang wang deposit. Ini tidak pernah terjadi. Kalau benar kita boleh menipu, saya akan pastikan saya sendiri menang. Ini tidak, saya juga kalah dan BN terima setiap kekalahan.

“Kita telah lakukan segalanya, namun BN masih gagal mmerampas kembali Pulau Pinang dan kita masih menerimanya dengan baik termasuklah di negeri-negeri lain. Jadi, beritahu saya di manakah ruang ada yang kita boleh menipu? Jika betul ada dan ada bukti, kemukakanlah… buat aduan dengan segera. Bagi saya negara ini mempunyai undang-undang yang hebat dan Perlembagaan yang baik jadi gunakanlah dengan bawa bukti yang ada ke mahkamah.

“Jangan sekadar cakap kosong dan mempergunakan rakyat untuk membenci kerajaan dan BN. Walaupun kita rasa tertipu dengan sikap sesetengah pihak namun kita terima keadaan ini tapi kita tidak boleh terima bila pembangkang bercakap kosong dan tidak menerima keputusan PRU-13,” jelasnya lagi.

Selepas tamat PRU-13, beberapa pemimpin Pas dan majlis Syura telah menyatakan pendirian bahawa Pas sama sekali tidak menyokong sebarang bentuk bantahan jalanan serta menafikan penglibatan atau kaitan langsung dengan penganjuran himpunan 505.

Namun begitu, dilaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pernah mengeluarkan kenyataan menyokong perhimpunan tersebut. Selain Mustafa, Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan turut menyatakan sokongan yang sama.

Membuktikan lagi keterlibatan Pas dalam himpunan 505 adalah apabila perhimpunan ini diadakan di Kompleks Pas di negeri Kedah manakala di perhimpunan di negeri Terengganu juga menyaksikan pemimpin Pas seperti Mustafa dan Husam Musa turut hadir. – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang komen yang tersiar adalah menjadi tanggungjawab penghantar. Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadapnya. Sekiranya ada sebarang komen dihantar dan tersiar yang bertentangan dengan undang-undang negara , pemilik blog ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tujuan siasatan dan tindakan.

HARAP MAKLUM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...