>>>> HOME <<<<

Jumaat, 3 Mei 2013

Presiden PAS Kesal Anwar Peralat Qardhawi


AIDCNews – 01/05/13 – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan Antarapos kesal dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperalatkan ulama tersohor Dr Yusuf Qardhawi untuk menjustifikasikan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-7 sekiranya Pakatan Rakyat menang menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-13, 5 Mei.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim mengheret ulama Dr Yusuf Qardhawi dalam isu jawatan Perdana Menteri setelah PAS enggan memberi ketetapan untuk menyokong tuntutan beliau mengisi jawatan itu pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu,” lapor Antarapos yang mendapat sumber dalaman Pas.

“Pada pembentangan manifesto Pakatan Rakyat, PKR mahu mengumumkan Anwar menjadi Perdana Menteri tapi PAS membantah. Anwar menggelabah dan terus menghubungi Yusuf Qardhawi,” katanya.

Sumber itu menyebut tindakan Anwar itu telah memaksa Abdul Hadi bersemuka sendiri dengan Al Qardhawi untuk menjelaskan bahawa partinya menolak Ketua Umum PKR kerana beliau bukan pemimpin gerakan Islam.


“Abdul Hadi bergegas berjumpa Yusuf Qardhawi di Qatar pada 28 Februari lalu bagi menjelaskan mengapa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri Pakatan Rakyat.

“Alasan yang diberikan Abdul Hadi kuat iaitu Anwar tak layak jadi Perdana Menteri kerana PKR bukan gerakan Islam dan Anwar bukan pemimpin gerakan Islam,” kata sumber itu.

Namun Abdul Hadi dilaporkan gagal memujuk Qardhawi.

Menurut sumber itu, Abdul Hadi juga kesal kerana Anwar telah menggunakan anak Qardhawi untuk memujuk ayahnya menulis surat itu.

Beliau berkata surat itu jelas di luar amalan biasa Qardhawi apabila ia ditujukan “bukan sahaja kepada Abdul Hadi dan Anwar selaku pemimpin PKR, tetapi juga parti Cina (DAP) bahawa Anwar patut menjadi calon Perdana Menteri pembangkang.”

“Tidak tahu bagaimana cara digunakan bagi mempengaruhi Qardhawi untuk menulis surat yang ditujukan kepada Anwar, PAS dan parti Cina,” kata sumber itu.

Menurut beliau dengan surat itu membuktikan keghairahan PKR untuk meyakinkan pimpinan dan akar umbi PAS supaya menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

“PKR juga menggunakan surat ini untuk mempengaruhi pemimpin-pemimpin PAS. Nik Aziz sendiri yang melancarkan surat terbuka Yusuf Qardhawi, menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, surat itu tidak menghakis sokongan akar umbi dan pimpinan PAS untuk Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menawan Putrajaya.

Sumber-sumber PAS berkata tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati Hadi dan kepimpinan PAS.

Selain berjumpa Qardhawi, Hadi turut menguatkan hujah bahawa PKR bukan gerakan Islam dengan mendedahkan tindakan parti itu meletakkan calon tangkap muat, pengedar dadah dan sanggup jual kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Beliau turut membidas PKR kerana bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dianggap PAS sebagai berkecenderungan Komunis.

Abdul Hadi kemudian merestui keputusan parti meletakkan calon PAS di enam kerusi DUN dan Parlimen Labuan untuk menentang calon PKR.

Beliau menegaskan PAS terpaksa berdepan dengan PKR di kawasan tertentu demi “menyelamatkan Pakatan Rakyat.”

Sebelum ini, Hadi turut menolak surat Qardhawi dengan menegaskan “Qardhawi tidak mengundi di sini, beliau rakyat Qatar, yang berhak ialah pengundi-pengundi.”

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib dilaporkan NST turut memberi isyarat awal bahawa akar umbi Pas boleh mencadangkan supaya parti Islam itu keluar dari Pakatan pada muktamar akan datang, iaitu selepas PRU 13.

Beliau berkata demikian selepas ahli parti itu melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Johor ,Norman Fernandez yang menggesa orang bukan Islam tidak mengundi Pas pada pilihan raya umum nanti.

Sehubungan dengan itu Harun menyeru semua ahli akar umbi Pas untuk bersabar sehingga misi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selesai.

“Kita tentu sedih isu seperti ini timbul begitu dekat dengan tarikh pilihanraya. Tetapi dalam detik-detik terakhir, kita perlu meneruskan perjuangan kita dahulu.

“Sebaik sahaja pilihanraya berakhir, kita akan menyelesaikan perkara ini. Muktamar akan diadakan selepas pilihanraya umum dan akar umbi boleh menyatakan hasrat mereka kepada kepimpinan parti. Kita akan membuat keputusan itu, bukan sekarang,” katanya .
SUMBER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang komen yang tersiar adalah menjadi tanggungjawab penghantar. Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadapnya. Sekiranya ada sebarang komen dihantar dan tersiar yang bertentangan dengan undang-undang negara , pemilik blog ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tujuan siasatan dan tindakan.

HARAP MAKLUM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...