>>>> HOME <<<<

Ahad, 21 April 2013

PRU13: ZUL NORDIN TIDAK PENTING, BN YANG UTAMA....


Parlimen Shah Alam sentiasa menjadi antara kawasan tumpuan dalam setiap kali pilihan raya. Di anggap sebagai bandaraya Melayu, Shah Alam menjadi satu penunjuk aras pemikiran Melayu Bandar kelas pertengahan yang belum lepas bebas dari akar budaya dan agama.

Dengan jumlah 70% daripada 99,957 pengundi berdaftar adalah Melayu Islam, Parlimen ini sepatutnya menjadi kubu kukuh Barisan Nasional.

Namun, ketika BN masih mengekalkan kebanyakan Parlimen yang mempunyai majoriti Melayu 65% dan ke atas di Selangor dalam pilihan raya lalu, Shah Alam memberi dimensi berbeza.



Parlimen dan kedua-dua kerusi negeri yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN tumbang ke bumi. Tiga tokoh besar UMNO, Exco Sukan Selangor, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin, bekas Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Salamon Selamat dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Aziz Shamsudin tumbang.

Sungguhpun ada beberapa isu nasional yang mempengaruhi kelompok melayu bandar ini, namun dua isu yang nyata sekali menjejaskan BN di Shah Alam ialah isu kuil dan calon luar. Hindraf berjaya memanipulasi isu kuil Hindu yang dirobohkan kerana dibina atas tanah milik orang lain tanpa kebenaran.

Kontroversi pemilihan Datuk Aziz Shamsuddin sebagai calon BN bagi Parlimen Shah Alam dalam pilihan raya ke 12 pada 2008 telah mencatatkan sejarah penting dalam lanskap politik Shah Alam. Sebahagian mereka memutuskan untuk menolak Aziz Shamsudin sebagai calon Parlimen kerana dianggap sebagai orang luar Shah Alam.

Sungguhpun Aziz telah memenangi Parlimen Shah Alam pada 2004, UMNO Bahagian telah menyatakan bahawa mereka berharap akan mendapat calon tempatan dalam pilihan raya akan datang. Di tambah dengan masalah perkhidmatan yang kurang baik di kawasan, desakan supaya Aziz diganti dengan calon tempatan sangat kuat.

Akhirnya, nama Aziz digugurkan dari senarai calonParlimen Shah Alam pada senarai awal calon 2008. Namun perubahan saat akhir, memasukkan kembali nama Aziz menyebabkan berlaku bantahan dan pemberontakan kecil daripada pengundi Shah Alam. Selebihnya adalah sejarah yang telah diketahui di Shah Alam.

Realiti Hari Ini

Kali ini, pucuk pimpinan sekali lagi meletakkan calon luar untuk Parlimen Shah Alam, Datuk Zulkifli Nordin. Calon yang popular dengan panggilan Zul Nordin ini bukan sahaja orang luar Shah Alam tetapi juga bukan ahli UMNO. Suara tidak berpuas hati sudah kedengaran termasuklah pada malam pengenalan calon BN beberapa hari lalu.

Pencalonan semalam mengesahkan Zul Nordin akan menentang calon Pas, Khalid Samad bagi kerusi Parlimen Shah Alam. Bagi Kerusi DUN Kota Anggerik akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Mohd Yusof Din yang ditentang oleh EXCO Selangor, Dr Yaakob Sapari dan bekas ahli Dewan Pemuda Pas, Eriq Faisal Rusli.

Kerusi DUN Batu Tiga pula ditandingi oleh Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Nawawi M Zin atas tiket BN bersama Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail dan calon bebas, Uzi Che Hussin.

Parlimen Shah Alam mungkin mengulangi sejarah 2008 sekiranya tidak ditangani secara berhati-hati. Zul Nordin bukan sahaja berhadapan masalah dengan segelintir ahli UMNO yang merasakan mereka sekali lagi dipaksa menerima calon “payung terjun” tetapi juga kemarahan kaum India.

Kontroversi Zul Nordin dan Agama Hindu

Bukan lagi rahsia penganut agama Hindu yang berjumlah sekitar 15 ribu orang di Shah Alam tidak dapat menerima Zul Nordin berikutan tersebarnya video ceramah Zul Nordin yang menghina tuhan mereka. Video tersebut adalah video lama semasa Zul di dalam Pas.

Saya memahami perasaan penganut Hindu sekiranya mereka tidak mahu mengundi Zul Nordin, biarpun beberapa hari lalu calon BN ini telah memohon maaf kepada seluruh penganut agama Hindu atas kenaifan beliau sepuluh tahun lalu.

Sama ada permohonan maaf tersebut diterima oleh penganut Hindu adalah satu persoalan lain. Hanya setiap individu yang beragama Hindu sahaja boleh membuat keputusan sendiri. Namun saya percaya ada penganut Hindu akan menghargai permohonan maaf Zul tersebut dan memberi sokongan kepada beliau.

Tindakan Zul memohon maaf secara terbuka merupakan satu tindakan sangat besar ertinya. Tidak ramai pemimpin politik sanggup duduk merakamkan kenyataannya memohon maaf dan disiarkan di seluruh negara. Zul tidak perlu menebalkan muka, merendahkan ego dirinya untuk memohon maaf hanya sekadar mahu menjadi calon. Tidak perlu kerana beliau telah pun menjadi wakil rakyat sebelum ini.

Sudah tentu ada yang sinikal berkata mengapa baru sekarang, ketika hampir pilihan raya, mahu pohon maaf? Percayalah Zul tetap akan memohon maaf jika video itu disebarkan terlebih awal. Namun video tersebut hanya disebarkan dan dijadikan kontroversi beberapa hari lalu. Maka beberapa hari lalulah Zul mengemukakan permohonan maafnya.

Zul hari ini bukan lagi zul 10 tahun lalu. Beliau telah berhijrah daripada satu ideologi yang berasaskan kebencian, adu domba, fitnah kepada masyarakat yang lebih terbuka dan rasional. Nilai dan terimalah Zul Nordin hari ini bukannya Zul Nordin ketika berada di dalam Pakatan beberapa tahun lalu.

Jika penganut Hindu boleh memberi sokongan kepada Zul 5 tahun lalu ketika beliau telah pun melontarkan ucapan menghina agama Hindu itu, tidak ada sebab mereka tidak boleh melakukan perkara yang sama hari ini. Ini kerana Zul Nordin hari merupakan individu yang jauh lebih baik dari 2008.

Saya percaya majoriti orang India sekarang menyokong Barisan Nasional dan program transformasi yang dibuat oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Jangan kerana marahkan Zul Nordin maka seluruh calon BN tidak diundi. Zul Nordin hanyalah calon mesra BN yang Najib rasa boleh membantu mengukuhkan BN dalam beberapa keadaan.

Justeru, jika benar penganut agama Hindu tidak boleh mengundi Zul Nordin, rosakkanlah sahaja undi di Parlimen. Berikanlah undi untuk calon BN di DUN Batu Tiga dan Kota Anggerik. Jangan sesekali beri undi kepada Pas, Pkr dan DAP kerana selama ini tidak ada satu pun janji terhadap orang India mereka penuhi.

Calon Luar Shah Alam Lawan Islam dan Melayu

Sebahagian ahli UMNO memang tidak berpuas hati kerana ini merupakan penggal ketiga mereka mendapat calon payung terjun. Mereka telah menyatakan dengan jelas pada 2008. Pandangan mereka diabaikan dan akhirnya semua calon BN dalam parlimen ini tumbang.

Kini sekali lagi mereka menegaskan mahukan calon dari Shah Alam sendiri. Sekali lagi pucuk pimpinan mengabaikan pandangan ini. Dan sekali lagi riak “pemberontakan kecil” sudah dikesan. Tidak ada sesiapa patut menyalahkan mereka. Mereka juga ada perasaan dan akal fikir. Mereka setia kepada parti, namun apakah pucuk pimpinan parti setia kepada ahli di bawah?

Namun kali ini kita mengharapkan ahli UMNO dan seluruh pengundi Melayu duduk berbincang dan bermuhasabah diri. Keputusan telah dibuat oleh pucuk pimpinan mengenai pencalonan Zul Nordin sebagai calon Parlimen Shah Alam mesra BN. Sama ada suka atau tidak inilah calon kita.

Pucuk pimpinan faham perasaan dan harapan Melayu Shah Alam. Namun saya percaya keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan geo-strategik politik dan calon pihak lawan hari ini. Insyallah suatu masa nanti, mungkin dalam pilihan raya umum ke -14, BN Shah Alam akan diberi peluang meletakkan calon anak tempatan atau dari kalangan pemimpin UMNO Bahagian Shah Alam untuk Parlimen.

Sehingga itu, pengundi Melayu di Shah Alam hanya mempunyai dua pilihan. Sama ada menyokong Barisan Nasional dan mengukuhkan status quo kedudukan Islam dan Melayu atau menyokong Khalid Samad dan meruntuhkan status quo Islam dan Melayu hari ini.

Sekiranya, pengundi Melayu memilih untuk memprotes pemilihan Zul Nordin dengan memberi undi kepada pihak lawan. Akibatnya ialah, calon Pas yang terkenal dengan sikap liberal dan pluralisme agama ini akan menang.

Bolehkah pengundi Shah Alam menerima wakil rakyat mereka yang bersetuju dengan cadangan DAP untuk membenarkan bible bahasa Melayu di Semenanjung menggantikan perkataan Tuhan kepada Allah dalam konsep triniti mereka? Khalid Samad adalah hanya segelintir pemimpin Pas yang bersetuju dengan permintaan ini.

Amatlah menyedihkan jika pengundi Melayu memberi undi kepada Khalid Samad hanya kerana tidak suka Zul Nordin. Mengundi Khalid Samad bermakna mengundi membenarkan pengunaan kalimah Allah mengganti Tuhan dalam bibel bahasa Melayu yang akan diedarkan di Semenanjung Malaysia.

Apakah marah dan sakit hati kita kerana calon luar dipilih BN kali ini lebih penting daripada kemuliaan Islam? Kemenangan Zul Nordin bukan bermakna beliau akan kekal selamanya di Shah Alam.

Sebaliknya, pengundi Melayu sama ada Pas, UMNO mahu pun “atas pagar” perlu faham bahawa kekalahan Zul Nordin akan memberi kesan yang sangat besar kepada perjuangan mempertahankan status quo Islam dan Melayu hari ini. Ini merupakan ujian penting sama ada orang Melayu masih mahu mengekalkan
kedudukan agama Islam seperti sekarang atau telah bersedia untuk membuka ruang kepada pluralisme agama berkembang di kalangan orang Islam.

Dalam pilihan raya kita tidak mungkin menemui calon yang sempurna kerana manusia tiada yang sempurna. Dalam pilihan raya kita mahu memilih parti yang lebih baik bagi memimpin negara ini. Kita juga akan memilih calon yang lebih baik dalam senarai mereka yang bertanding bukannya melihat keburukan calon BN dan memberi undi kepada parti lawan.

Hakikatnya dari segi apa pun, calon-calon BN di Parlimen Shah Alam jauh lebih baik daripada calon-calon yang di bawa oleh Pas dan PKR. Berilah undi kepada parti dan individu yang lebih baik antara yang ada.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...